Ringkasan Keris Sempena Riau

Dalam filem tersebut, (Salmah Ahmad) memegang watak sebagai Tun Lela dan (Mustapha Maarof) sebagai Engku Muda. Ayah Tun Lela yang memegang watak sebagai Laksamana Ali telah memfitnah ayah Engku Muda yang menyebabkan Laksamana Perwira Jaya (Abdullah Chik) telah dipenjara oleh Sultan Riau kerana telah mencuri Keris Riau yang dimiliki oleh Laksamana Ali (Nyak Othman) padahal Laksamana Ali telah merancangnya dengan tersusun iaitu Keris itu telah diletakkannya di tempat tinggal Laksamana Perwira Jaya agar dituduh. Rancangannya itu telah berhasil.

Selepas pemenjaraan Laksamana Perwira Jaya, Laksamana Ali membuat rancangan seterusnya iaitu ingin membunuh pula isteri Laksamana Perwira Jaya dan rumah ibu Engku Muda telah dibakar oleh orang suruhannya. Mereka berdua terselamat.

Selepas 6 tahun, Laksamana Ali membuat majlis keramaian meraikan perlantikan beliau sebagai Datuk Laksamana Kerajaan Riau. Di majlis tersebut, Laksamana Ali juga meraikan majlis mencukur jambul anak perempuannya.

13 tahun kemudian, apabila Engku Muda dewasa, dia cekap bermain senjata iaitu keris dan mahir dalam dunia persilatan. Pada suatu hari, Tun Lela dan rakan rakannya sedang bersuka ria tanpa tersengaja mereka ditimpa kecelakaan. Engku Muda kebetulan ada disitu lalu membantu mereka. Di situlah pertemuan pertama kali antara Tun Lela dan Engku Muda. Tun Lela telah menaruh hati pada Engku Muda. Pada suatu malam, Tun Zaleha bertekad ingin berjumpa dengan suaminya di dalam penjara.Tun Zaleha (Kasma Booty) telah ditangkap dan dipertemukan dengan Laksamana Ali. Laksamana Ali memasang helah sekali lagi, dengan mengarahkan orang suruhannya mengekori di mana tempat tempat tinggal Tun Zaleha dan Engku Muda. Husin orang suruhan Laksamana Ali ingin membunuh Tun Zaleha pada keesokkan harinya. Engku Muda telah menyelamatkan ibunya. Engku Muda kebingungan mengapa Laksamana Ali ingin membunuh ibunya. Ibunya telah menceritakan kisah lampau tersebut kepada Engku Muda. Engku Muda bertekad membalas dendam terhadap Laksamana Ali diatas fitnah tersebut.

Pada keesokkan harinya, Engku Muda telah bertandang ke rumah Laksamana Ali untuk beradu tenaga. Selepas kejadian itu, atas bantuan Datuk Bendahara, Laksamana Ali telah membawa Engku Muda mengadap Sultan Riau yang akhirnya dibuat pertandingan pertikaman di antara Laksamana Ali dan Engku Muda. Pertikaman itu terhenti kerana ibu Engku Muda tiba di arena dengan membawa orang suruhan Laksamana Ali yang ditangkap oleh Engku Muda. Semua pengakuan diterangkan di arena tersebut. Akhirnya Sultan Riau murka dengan tindakan Laksamana Ali yang menyebabkan beliau dipenjara seumur hidup manakala Engku Muda dilantik oleh Sultan Riau sebagai Laksmana Engku Muda menggantikan ayahnya yang sudah uzur dan tua sejurus dilepaskan dari penjara. Manakala Tun Lela pula anak Laksamana Ali akhirnya berkahwin dengan Datuk Laksamana Engku Muda.